Majlis Anugerah Graduasi (MAG) 2021 Sekolah Menengah Setiabudi

Majlis Anugerah Graduasi (MAG) 2021 Sekolah Menengah Setiabudi | Assalamualaikum semua.. Dah berpuluh-puluh tahun sis meninggalkan zaman persekolahan tapi terasa bagai baru semalam je ianya berlaku. Bukan apa, bila sis dijemput menghadiri Majlis Anugerah Graduasi adik-adik yang baru menamatkan pelajaran Tingkatan 5, terus menggamit memori masa silam. Rindunya zaman persekolahan. Aduhhh, sempat pula sis mengelamun padahal sis nak kongsikan tentang Majlis Anugerah Graduasi (MAG) 2021 Sekolah Menengah Setiabudi.


Sekolah Menengah Setiabudi yang terletak di Gombak ialah sebuah sekolah di bawah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang menawarkan kurikulum KSSM di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dari Tingkatan satu (1) hingga Tingkatan Lima (5). Sekolah ini ditubuhkan pada tahun 2005 dengan nama Sekolah Menengah Taman Ilmu dan Budi.


Tarikh 1 April 2022 dipilih oleh Sekolah Menengah Setiabudi bagi menganjurkan Majlis Anugerah Graduasi (MAG) Tahun 2021 pelajar-pelajar Tingkatan 5 Kohort 2021 yang diadakan dengan gilang gemilang secara bersemuka, bertempat di Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur. Majlis ini bermula jam 7:30 malam dan turut dihadiri oleh ibu bapa kepada pelajar bagi sama-sama meraikan hari yang penuh kegembiraan bersama anak-anak tersayang.



Dengan tema "Azam Dipahat, Kejayaan Dinobat", Majlis Anugerah Graduasi kali ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, YB Senator Dato' Dr. Ahmad Masrizal Muhammad dan melibatkan seramai 99 pelajar Tingkatan 5 yang telah berjaya menamatkan peperiksaan SPM yang lalu. Pelajar-pelajar ini terdiri daripada Aliran Sains Tulen, Perakaunan dan Perniagaan. 


Majlis Anugerah Graduasi ini adalah majlis tahunan bagi Sekolah Menengah Setiabudi yang bertujuan meraikan para pelajar Tingkatan 5 yang baru menamatkan peperiksaan SPM mereka serta memberi anugerah istimewa kepada pelajar-pelajar SPM yang telah mencapai pencapaian yang membanggakan dalam bidang akademik dan ko-kurikulum. 



Majlis Anugerah Graduasi ini akan menjadi pemangkin dalam merealisasikan segala hasrat dan harapan yang terkandung dalam visi dan misi sekolah. Suntikan semangat dan pengiktirafan yang bakal diberi kepada pelajar-pelajar secara tidak langsung akan menyemai motivasi intrinsik dalam diri mereka ke arah yang lebih cemerlang dan progresif.


Apa pun tahniah buat adik-adik semua. Sis harap adik-adik akan terus cemerlang di menara gading dan berjaya mencapai cita-cita serta mengharumkan nama keluarga. InshaAllah.. 





Post a Comment

0 Comments