Kerjasama Strategik Lung Cancer Network Malaysia (LCNM) dan AstraZeneca Untuk Diagnosis Kanser Paru-Paru Menggunakan Teknologi Saringan Kecerdasan Buatan (AI)

Kerjasama Strategik Lung Cancer Network Malaysia (LCNM) dan AstraZeneca Untuk Diagnosis Kanser Paru-Paru Menggunakan Teknologi Saringan Kecerdasan Buatan (AI) | Assalamualaikum semua.. Zaman sekarang ni macam-macam penyakit ada kan. Ada sesetengah penyakit tu kita tak nampak pun simptom dia, tau-tau dah peringkat teruk.. aaaa, ghisauuu kan. Jadi penting untuk kita buat pemeriksaan awal. Betul tak?


Jadi atas inisiatif untuk membantu pemeriksaan awal, Lung Cancer Network Malaysia (LCNM), AstraZeneca dan Qualitas Medical Group telah bekerjasama sekali lagi dan berganding tangan dengan tiga buah pusat rawatan kanser swasta terkemuka iaitu Hospital Beacon, Pusat Perubatan Subang Jaya dan Pusat Perubatan Sunway untuk menyediakan pemeriksaan kanser paru-paru secara percuma kepada rakyat Malaysia. Kerjasama ini akan meluaskan lagi akses untuk orang ramai menerima teknologi saringan Kecerdasan Buatan (AI) yang canggih (Qure.ai) di klinik penjagaan utama dan jika perlu, siasatan lanjut akan dibuat dengan imbasan tomografi terkira dos rendah (LDCT) di ketiga-tiga hospital penjagaan tertier yang disebutkan tadi.


Program pemeriksaan kanser paru-paru AI yang percuma ini telah dimulakan oleh Dr. Anand Sachithanandan, Pakar Bedah Kardiotoraks dan Presiden LCNM bersama Dr. Sanjeev Panchal, Presiden Negara, AstraZeneca Malaysia, demi menghidupkan hasrat mereka yang dikongsi bersama untuk menggalakkan pengesanan awal kanser paru-paru.

Kanser paru-paru adalah kanser kedua paling biasa dan penyebab utama kematian berkaitan kanser di kalangan kaum lelaki rakyat Malaysia[ Malaysia Cancer Registry Report 2012-2016]. Kebanyakan kes kanser paru-paru dikesan lewat dan ini menyebabkan penurunan kadar kelangsungan hidup pesakit kanser jenis ini berbanding jenis kanser utama yang lain di negara kita[ H. Sung, J. Ferlay, R.L. Siegel, M. Laversanne, I. Soerjomataram, A. Jemal, F. Bray. Global cancer statistics 2020: GLOBOCAN estimates of incidence and mortality worldwide for 36 cancers in 185 countries CA Cancer J. Clin., 71 (2021), pp. 209-249]. Melalui penubuhan program ini, rakyat Malaysia - terutamanya mereka yang berkemungkinan berada dalam kategori berisiko tinggi seperti bekas perokok tegar dan mereka yang masih lagi merokok - akan dapat mengesan kehadiran awal kanser melalui penggunaan teknologi canggih yang tersedia.


Pengesanan penyakit kanser paru-paru peringkat awal adalah penting kerana hasil rawatan dan prognosis sangat bergantung pada peringkat penyakit. Menurut Dr. Anand, prognosis yang tidak baik di kalangan pesakit kanser paru-paru selalunya disebabkan kebanyakan pesakit tidak akan mengalami apa-apa tanda atau gejala pada peringkat awal penyakit ini dan mereka hanya akan sedar tentang masalah kesihatan mereka apabila penyakit ini telah lanjut. Dengan pendekatan terapi pelbagai disiplin dan pelbagai mod, kanser paru-paru yang dikesan pada peringkat awal dapat membawa prognosis yang sangat baik kerana rawatan kuratif akan lebih berkesan dan lebih kos efektif apabila kanser mula dirawat pada peringkat ini. 


“Sejarah keluarga dan pencemaran udara merupakan faktor risiko yang utama untuk peningkatan trend kanser paru-paru dalam kalangan bukan perokok. Kerjasama yang menggunakan teknologi AI untuk saringan kanser ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia dan ia akan membantu memenuhi keperluan pengesanan kanser paru-paru dalam kalangan bukan perokok,” kata Dr Anand.

Perikatan ini menandakan kerjasama pelbagai pihak yang unik antara klinik penjagaan utama Qualitas terpilih dan tiga hospital pakar dalam usaha mereka untuk menyediakan akses kepada teknologi AI (Qure.ai) dan pengimejan LDCT yang canggih untuk pesakit. Dengan akses yang dipertingkatkan, alat tafsiran X-ray AI yang menggunakan algoritma pembelajaran mendalam untuk mengesan keabnormalan pada radiografi dada boleh meningkatkan kepekaan untuk pengesanan nodul paru-paru yang selalunya merupakan tanda pertama kanser paru-paru. Kes yang disyaki kemudiannya akan disiasat selanjutnya dengan imbasan LDCT bukan kontras yang merupakan kaedah saringan yang terbukti baik untuk mengurangkan kematian berkaitan kanser paru-paru bagi individu berisiko tinggi.

“X-ray dada AI akan meningkatkan ketepatan diagnostik dan mempercepatkan rujukan kes kepada pakar paru-paru yang berkaitan. Dengan penyiasatan dan rawatan yang lebih pantas, kadar kelangsungan hidup yang lebih baik boleh dijangkakan. Kemajuan perubatan yang inovatif seperti ketersediaan mesin algoritma AI pembelajaran mendalam ini merupakan satu langkah besar untuk industri dan berpotensi untuk mengubah status industri perubatan semasa. Kami berharap untuk mewujudkan peralihan peringkat penyakit secara berkesan sambil mengesan lebih banyak kanser paru-paru di peringkat awal dalam komuniti,” jelas Dr. Anand lagi.


Mengulas mengenai kerjasama ini, Dr. Sanjeev Panchal berkata, “Melalui kerjasama yang kedua dengan Lung Cancer Network Malaysia, Kumpulan Perubatan Qualitas dan kini dengan barisan hospital tertier, kami berharap untuk meluaskan akses bagi pesakit untuk mendapatkan diagnosis awal kanser paru-paru untuk mengurangkan kadar kematian disebabkan penyakit ini di Malaysia. Penyepaduan teknologi inovatif seperti AI untuk saringan kanser paru-paru yang bermula di peringkat penjagaan utama adalah bukti bagaimana pemeriksaan awal boleh meningkatkan kadar rujukan yang tepat bagi individu berisiko tinggi untuk mendapatkan diagnosis lanjut dari hospital tertier yang menggunakan teknik pengimejan LDCT yang langsung dapat menyelamatkan nyawa. Cita-cita AstraZeneca adalah untuk melampaui pil dan mencipta ekosistem kesihatan yang teguh sambil menggalakkan diagnosis awal untuk mengurangkan beban penyakit lalu meningkatkan kebolehcapaian perkhidmatan pemeriksaan dan rawatan."


Setiap pihak kerjasama ini berharap inisiatif ini akan membuka jalan kepada pengusaha industri lain untuk menyertai gabungan ini untuk membantu meluaskan lagi akses bagi pesakit untuk mendapatkan diagnosis kanser paru-paru pada harga yang berpatutan di negara ini. 

Untuk maklumat lanjut tentang kempen saringan percuma ini, sila kunjungi:




Post a Comment

0 Comments