Pavilion Bukit Jalil Raikan Kelestarian Menerusi ‘Pavilion Loves Sustainability’ Dengan Pelbagai Aktiviti Hijau Menarik | Assalamualaikum semua.. Kalau sebut tentang pusat beli-belah, ramai mungkin membayangkan tempat membeli-belah, makan-makan dan bersantai bersama keluarga. Namun baru-baru ini, sis sempat menghadiri kempen Pavilion Loves Sustainability di Pavilion Bukit Jalil dan ternyata inisiatif yang dibawakan kali ini cukup berbeza kerana ia memberi fokus kepada gaya hidup lestari dan kepentingan menjaga alam sekitar dengan cara yang lebih dekat dengan komuniti.
Berlangsung dari 5 hingga 10 Mei 2026, kempen ini dianjurkan di bawah inisiatif kelestarian Pavilion REIT Malls dengan tujuan mengajak lebih ramai orang mengamalkan kehidupan yang lebih hijau dalam rutin harian. Menariknya, sepanjang minggu ini, Pavilion Bukit Jalil bukan sahaja tampil sebagai destinasi membeli-belah, malah bertukar menjadi ruang komuniti yang menggabungkan elemen alam semula jadi, inovasi dan pendidikan kelestarian dalam suasana yang santai serta interaktif.
Antara tarikan utama yang paling mencuri perhatian sis semestinya Taman Herba seluas 635 kaki persegi yang terletak di Aras 3 berhampiran Park Entrance. Bila tengok sendiri taman ini, rasa tenang dan nyaman sangat dengan susunan tanaman herba seperti cili padi, serai, pandan, daun kari dan lengkuas yang dijaga rapi. Apa yang lebih menarik, semua tanaman ini menggunakan baja daripada hasil pengkomposan sisa makanan pusat beli-belah tersebut.
Bukan sekadar cantik dipandang, taman ini sebenarnya memainkan peranan penting dalam ekosistem kelestarian Pavilion Bukit Jalil. Hasil tanaman herba yang dituai turut dibekalkan kepada beberapa penyewa terpilih di pusat beli-belah ini. Secara tidak langsung, ia menunjukkan bagaimana sisa makanan boleh diurus dengan lebih bertanggungjawab dan dimanfaatkan semula dalam bentuk yang lebih produktif.
Selain taman herba, sis juga sempat melihat pelbagai lagi inisiatif hijau yang dilaksanakan di seluruh pusat beli-belah ini. Antaranya termasuk Rebag Station, kemudahan pengkomposan sisa makanan, tong derma, sistem penuaian air, panel solar serta stesen pengecas kenderaan elektrik seperti Shell Recharge dan Tesla Supercharger. Semua usaha ini jelas menunjukkan komitmen berterusan Pavilion REIT Malls dalam mengurangkan impak terhadap alam sekitar sambil menggalakkan komuniti memilih gaya hidup yang lebih lestari.
Dalam masa sama, suasana di sini turut dimeriahkan dengan Pameran Bonsai di Aras 2, Zon Oren berhampiran Tsutaya Books Pavilion Bukit Jalil. Pameran yang dianjurkan bersama Persatuan Bonsai dan Suiseki Malaysia ini memang menarik perhatian pengunjung dengan pelbagai koleksi bonsai yang unik dan sangat cantik. Sis sendiri terpegun melihat seni penjagaan bonsai yang memerlukan kesabaran dan ketelitian tinggi.
Bagi peminat bonsai, terdapat juga pop-up khas di Aras 2, Zon Merah Jambu yang membolehkan pengunjung melihat lebih banyak koleksi serta membuat pembelian. Pameran ini turut diadakan sebagai sebahagian daripada sokongan kepada Konvensyen Bonsai Dunia ke-10 yang bakal berlangsung di Pavilion Bukit Jalil pada 28 hingga 31 Ogos 2026 nanti.
Satu lagi tarikan menarik yang patut dikunjungi ialah pameran produk mesra alam di Pintu Masuk PIAZZA, Aras 3, Zon Oren yang berlangsung sehingga 2 Jun 2026. Pelbagai jenama terkenal mengambil bahagian dengan mengetengahkan produk lestari dan inovasi hijau masing-masing.
Antara jenama yang terlibat termasuk Echolac, Epitex, L'Occitane, Starbucks dan The Body Shop. Pengunjung boleh melihat sendiri pelbagai produk mesra alam yang dihasilkan menggunakan bahan kitar semula seperti kulit vegan daripada kopi dan botol plastik kitar semula.
Apa yang sis suka tentang kempen ini ialah pendekatan mereka yang cuba menjadikan kelestarian sesuatu yang mudah difahami dan dekat dengan kehidupan harian. Pengunjung bukan sekadar datang melihat pameran, tetapi turut berpeluang menyertai aktiviti interaktif yang menyeronokkan.
Dengan perbelanjaan minimum RM50 dalam satu resit, pengunjung boleh menebus herba pilihan menerusi Green Rewards di Kaunter Khidmat Pelanggan Aras 1 selagi stok masih ada. Selain itu, bengkel eksklusif “Plant It. Style It. Take It Home” untuk ahli Pavilion Privileges turut memberi peluang kepada peserta menanam herba sendiri sambil menghias pasu dengan kreativiti masing-masing.
Secara keseluruhannya, kempen Pavilion Loves Sustainability ini bukan sahaja menyeronokkan, malah memberi inspirasi kepada pengunjung untuk mula mengamalkan gaya hidup lebih hijau walaupun dengan langkah kecil. Menarik juga melihat bagaimana sebuah pusat beli-belah boleh memainkan peranan dalam mendidik masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar melalui pengalaman yang lebih santai dan praktikal.



.jpeg)







0 Comments