Kerjasama Penubuhan “Are You Okay Centre” Dan Majlis Menandatangani Surat Hasrat (LOI) Di antara Universiti Teknologi MARA dan Wanita Ikon Selangor 2022

Kerjasama Penubuhan  “Are You Okay Centre” Dan Majlis Menandatangani Surat Hasrat (LOI) Di antara Universiti Teknologi MARA dan Wanita Ikon Selangor 2022 | Assalamualaikum semua.. Are You Okay?? Selalu kita dengar orang bertanya macam ni kan. Bagi mereka yang tiada masalah biasanya akan terus balas "Okay Je" tapi bagi seseorang yang dibelenggu masalah atau tekanan perasaan memang soalan ini akan memberi kesan yang bermakna untuk mereka.


Sesiapa pun yang dilanda masalah pasti memerlukan ruang atau seseorang untuk mereka meluahkan perasaan. Jika dibiarkan terpendam, risau akan memudaratkan kesihatan dari segi mental dan emosi. Tambah-tambah lepas PKP ni, ramai yang menghadapi masalah kehidupan terutama dari segi kewangan. Perkara ni bukan boleh dibuat main-main yeee. Jika tidak dibendung mungkin akan mendorong kepada kematian (bunuh diri). Nauzubillah minzalik.. 


Jadi atas sifat keprihatinan untuk membantu masalah sebegini maka satu inisiatif diambil oleh Wanita Ikon Selangor 2022 iaitu YBhg. Datin Erni Dekritawati Yuliana Buhari atau lebih dikenali dengan panggilan Datin Rita Sosilawati untuk bekerjasama dengan pihak Universiti Teknologi MARA dengan menubuhkan “Are You Okay Centre” yang berfungsi sebagai “initial step” dalam menangani isu-isu berkaitan psiko-sosial dan kesihatan mental. Pusat ini akan dikendalikan oleh sukarelawan dalam kalangan pelajar yang terpilih dan terlatih, dengan dikawal selia oleh Pegawai Psikologi berpengalaman dari UiTM sendiri.



OBJEKTIF

Objektif utama penubuhan “Are You Okay Centre” ialah:
1. Sebagai medium interaktif sesama warga UiTM yang terdiri daripada golongan pelajar dan staf dalam berkongsi masalah yang menyumbang kepada tekanan dan masalah mental.

2. Pusat ini bertindak dalam membantu mencadangkan saluran yang betul kepada pihak yang berkaitan untuk diambil tindakan. Ini kerana, ramai orang yang mempunyai masalah, tidak tahu ke manakah saluran yang betul untuk menyelesaikan belenggu mereka.

3. Berfungsi sebagai tempat bagi aktiviti-aktiviti sihat minda di kalangan warga UiTM dan komuniti setempat.


Bagi memformalkan penubuhan “Are You Okay Centre” ini satu majlis telah diadakan untuk menandatangani Surat Hasrat (LOI) di antara Universiti Teknologi MARA dan Wanita Ikon Selangor 2022 telah berlangsung di Ruang Legar, Aras 7, Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin UiTM Shah Alam.


Surat Hasrat ini ditandatangani oleh YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM bersama dengan Wanita Ikon Selangor 2022 – YBhg. Datin Erni Dekritawati Yuliana Buhari atau lebih dikenali dengan panggilan Datin Rita Sosilawati. Majlis ini turut dihadiri oleh YBrs. Pn. Wan Noraini Wan Yusoff, Pengarah Pusat Kerjaya & Kaunseling, BHEP, YBrs. En. Wan Ahmad Rahiman Wan Abd Rahim, Timb. Pendaftar BHEP serta YBrs. En. Rasydan Mohd Hassan, Yang Dipertua MPP UiTM.


Untuk pengetahuan semua, Datin Rita Sosilawati telah terpilih sebagai Wanita Ikon Selangor 2022 dan juga merupakan graduan dari UiTM jadi beliau terpanggil untuk membantu serta menyumbangkan idea dan tenaga untuk membantu warga UiTM. Semoga hasrat penubuhan “Are You Okay Centre” akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat dan penubuhan pusat ini juga merupakan “giving back to UiTM” oleh Datin Rita Sosilawati sebagai salah seorang alumni UiTM serta dapat membantu warga UiTM untuk menangani isu-isu berkaitan psiko-sosial.

Post a Comment

0 Comments