15,000 Peserta Hadir Memeriahkan Larian Bersarong Di Malaysia Sarong Music Run Edisi Ke-3 | Assalamualaikum semua.. Ini kali kedua sis hadir ke Malaysia Sarong Music Run (MSMR), dan jujur sis cakap, suasana kali ini memang jauh lebih meriah. Penganjuran kali ini menyaksikan ribuan peserta yang datang bersarong dengan pelbagai gaya dan warna. Ada yang kreatif lengkap dengan aksesori tradisional, ada juga yang selamba gayakan sarong dengan baju T-Shirt MSMR.
Meriah Dengan Ribuan Peserta
MSMR kali ini adalah bersempena dengan Hari Malaysia 2025 dan berjaya catat rekod luar biasa dengan 15,000 peserta menyertai acara larian. Walaupun hari hujan namun ia tidak mematahkan semangat peserta malah diunjurkan seramai 30,000 pengunjung yang hadir bagi memeriahkan suasana.
Bagi edisi ketiga ini MSMR dianjurkan oleh Malaysia Marathon Official Sdn Bhd (Malaysia Marathon), dengan JETOUR Malaysia sebagai penaja utama dan rakan kereta rasmi. Tak ketinggalan, ia juga mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Yang buat MSMR istimewa ialah caranya menggabungkan muzik, makanan, fesyen tradisi, kecergasan dan semangat perpaduan. Ia bukan lagi sekadar larian, tapi pesta yang menyatukan orang ramai dari pelbagai latar.
Kehadiran Pemimpin & Figura Penting
Acara penuh warna-warni ini turut disempurnakan oleh kehadiran Menteri MOTAC, Dato’ Sri Tiong King Siong, bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Dato’ Seri TPr. (Dr.) Maimunah Mohd Sahrif.
Tiga Acara Utama Untuk MSMR 2025
MSMR 2025 tampil dengan tiga acara utama yang tarik perhatian:
🌟 EKI JETOUR X BSC – Perlumbaan berganti dengan sarong dijadikan selempang, berlangsung pada 9 September.
🌟 5KM Malaysia Speed – Perlumbaan khas untuk rakyat Malaysia sahaja, tempat pelari rekreasi dan elit menunjukkan bakat.
🌟 5KM Fun Run – Kategori paling santai, terbuka kepada semua termasuk pelancong antarabangsa.
Sis sendiri menyertai kategori 5km Fun Run sebab nak rasa kemeriahan MSMR. Memang seronok bila melihat ramai yang datang bersama keluarga, kanak-kanak, malah ada juga pelancong asing sama-sama berlari sambil ketawa, bergambar, dan berhibur dengan muzik yang bergema sepanjang laluan. Paling best setiap checkpoint ada makanan tradisi tau.
Festival Budaya Bertaraf Antarabangsa
Menurut Eddy Casmady, Presiden Malaysia Marathon merangkap pengasas MSMR, acara ini kini berkembang menjadi festival masyarakat antarabangsa.
“Meskipun baru tahun pertama MSMR diperkenalkan dengan tiga edisi, kami amat berbangga kerana ia bukan sekadar acara larian. Kini, MSMR diangkat sebagai festival masyarakat antarabangsa yang mempromosikan budaya dan warisan negara,”
~ Eddy Casmady, Presiden Malaysia Marathon ~
Acara ini juga seiring dengan usaha MOTAC mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026), menjadikan MSMR sebagai ikon budaya dan gaya hidup Malaysia yang mampu menarik perhatian dunia.
Sarong Simbol Kebersamaan
Yang paling sis suka tentang MSMR ialah elemen sarong. Melihat ribuan peserta dari pelbagai latar bangsa dan usia, semua bersatu dengan busana tradisi yang sama, memang buat hati tersentuh.
“Kita dapat lihat bagaimana lautan manusia mengangkat satu identiti yang sama iaitu sarong, busana tradisi yang tidak asing di Malaysia. Ia mencerminkan nilai kebersamaan dalam kalangan peserta.”
Dari KL ke Sarawak, Kini Cipta Rekod Baru
MSMR pertama kali diperkenalkan pada Februari lalu dengan 11,000 peserta. Edisi kedua pula, MSMR Edisi Sarawak, berlangsung di Matang, Kuching, berjaya tarik lebih 5,500 peserta dan 20,000 pengunjung.
Kini, edisi ketiga sempena Hari Malaysia 2025 melakar rekod dengan 15,000 peserta bukti bahawa MSMR semakin diterima sebagai acara tahunan yang dinantikan.
Malaysia Marathon Penganjur MSMR
Di sebalik kejayaan MSMR, Malaysia Marathon Official Sdn Bhd kekal dengan visi mereka untuk menyatukan komuniti, meraikan kepelbagaian budaya dan menggalakkan gaya hidup sihat melalui acara larian.
Selain MSMR, syarikat ini juga pernah menganjurkan Anak Sarawak Night Run 2022 dan Anak Sarawak International Half Marathon (ASIHM21) 2024. Dengan prinsip kecemerlangan, mereka sentiasa pastikan acara yang dianjurkan selamat, menarik dan berimpak tinggi, sekali gus menyumbang kepada perkembangan pelancongan sukan negara.
0 Comments