Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya 2026 (ABxFGR) Kembali Untuk Tahun Ke-5, Lebih Besar & Lebih Meriah | Assalamualaikum semua.. Bila sebut tentang festival persiapan raya, nama Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya (ABxFGR) memang antara yang terawal terlintas di fikiran sis. Tahun demi tahun, acara ini bukan sekadar tempat membeli-belah, tapi sudah menjadi simbol kemeriahan Ramadan dan Aidilfitri. Tahun 2026 pula lebih istimewa kerana ABxFGR kembali untuk tahun kelima dengan skala yang lebih besar, lebih berani dan lebih meriah.
Sis sendiri berpeluang menghadiri sesi taklimat pempamer dan pengenalan rakan penaja ABxFGR 2026, dan terus dapat rasakan aura keterujaan yang dibawa oleh pihak penganjur. Dari cara mereka berkongsi perancangan sehinggalah kepada pengumuman lokasi baharu, semuanya menunjukkan bahawa ABxFGR kini bukan lagi festival biasa, tetapi sebuah jenama acara yang semakin matang dan diyakini.
Untuk tahun ini, ABxFGR mencipta sejarah tersendiri apabila buat pertama kali membawa festival raya mereka ke luar negara. Destinasi antarabangsa pertama yang dipilih ialah BRIDEX Convention Centre, Brunei yang akan berlangsung dari 27 Februari hingga 1 Mac 2026. Selepas itu, festival ini akan singgah di PICCA, Pulau Pinang pada 6 hingga 8 Mac 2026 sebelum kemuncak acara berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) dari 13 hingga 16 Mac 2026.
Apa yang membuatkan sis tersenyum sendiri ialah apabila diumumkan acara kemuncak di Kuala Lumpur akan berlangsung selama 66 jam tanpa henti, bermula jam 12 tengah hari pada 13 Mac sehingga jam 6 pagi, 16 Mac 2026. Bayangkan, sama ada korang jenis membeli-belah waktu siang atau suka keluar lewat malam, semuanya boleh dilayan di sini.
Sepanjang empat tahun penganjuran sebelum ini, ABxFGR telah mencatatkan pelbagai rekod luar biasa. Dari jualan mencecah RM61.5 juta, 2,432 tapak reruai, hampir 8 juta pengunjung, ratusan vendor makanan dan minuman, sehinggalah penglibatan lebih 400 selebriti serta ribuan usahawan tempatan. Angka-angka ini bukan sekadar statistik, tetapi gambaran bagaimana festival ini telah menjadi platform penting kepada peniaga kecil, PKS dan jenama tempatan untuk berkembang.
Ringkasan pencapaian luar biasa sepanjang 4 tahun penganjuran ABxFGR yang telah direkodkan sejak tahun 2022:
• RM61.5 juta hasil jualan
• 2,432 tapak reruai
• 7.96 juta jumlah pengunjung
• 334 vendor F&B
• Lebih 400 Selebriti
• 125 rakan penaja
• Lebih daripada 3,500 usahawan dan 700 jenama tempatan
Menurut Datin Wira Sabrina, Pengarah dan Pengasas My Events International, kejayaan ini mengukuhkan lagi kedudukan ABxFGR sebagai festival raya paling ikonik di Malaysia. Bagi sis, apa yang dikongsikan beliau terasa sangat jujur dan penuh semangat, terutamanya apabila beliau menyentuh tentang impak positif kepada ekonomi negara serta peluang yang diberikan kepada usahawan tempatan.
“Pencapaian – pencapaian yang dicapai sepanjang penganjuran ini telah mengukuhkan lagi
status ABxFGR sebagai Festival Raya yang paling ikonik dan pilihan utama pengunjung di
Malaysia, di samping memberi impak positif kepada ekonomi negara serta membuka peluang
perniagaan kepada usahawan dan pemilik perniagaan tempatan, khususnya Perusahaan
Kecil dan Sederhana (SME). Di samping itu, sebagai hentian antarabangsa pertama bagi
acara ini, Brunei Darussalam menjadi fokus strategik bagi memperluaskan capaian jenama
acara ABxFGR serta meraih potensi pasaran baharu di negara tersebut.”
~ Datin Wira Sabrina, Pengarah dan Pengasas My Events International ~
Bagi edisi 2026, pihak penganjur turut memperkenalkan barisan rakan penaja di mana ABxFGR akan dimaniskan oleh Kunafa Aiwahhh, diikuti SPayLater sebagai Kaedah Pembayaran BNPL Rasmi, Bank Rakyat sebagai Bank Rasmi, Power Root sebagai Minuman Eksklusif, Cik B Salmon Skin sebagai Rangupan Rasmi, Sugar Bomb sebagai Wangian Rasmi, REV Media Group sebagai Media Rasmi dan Ombak Exclusive selaku Percetakan Rasmi bagi acara ini. ABxFGR 2026 ini juga diserikan dengan rakan penaja yang lain seperti Beauboss, Siti Khadijah, Varisha Collection, Keyes Bakehouse, Seri Bako, Opai Fragrance, HABIB, Cheetah dan Pure Lab.
Encik Nur Ali Nadzwan, Pengarah Urusan Absolut Events & Management pula berkongsi bahawa skala penganjuran ABxFGR 2026 telah diperluaskan dengan penambahan ruang pameran di MITEC serta penglibatan lebih banyak tapak reruai. Langkah ini membolehkan lebih ramai peniaga dan jenama tempatan menyertai festival ini, di samping membuka peluang menembusi pasaran baharu di Brunei dan Pulau Pinang.
“Skala penganjuran ABxFGR 2026 ini telah diperluaskan ke Brunei dan Pulau Pinang dan
turut diperbesarkan dengan penambahan ruang pameran bagi menempatkan lebih banyak
tapak reruai di acara kemuncak di MITEC, KL nanti. Jadi, kami amat menghargai sokongan
barisan penganjur pada tahun ini dalam merealisasikan impian kami untuk menembusi
pasaran baru di peringkat antarabangsa serta bahagian utara Malaysia.”
~ Encik Nur Ali Nadzwan, Pengarah Urusan Absolut Events & Management ~
Satu perkara yang menarik perhatian sis ialah pengenalan kaedah pembayaran Buy Now, Pay Later menerusi SPayLater. Dalam zaman kos sara hidup yang semakin meningkat, kemudahan ini memberi ruang kepada pengunjung untuk membeli-belah persiapan raya dengan lebih fleksibel dan terancang.
Dari segi tarikan pula, ABxFGR 2026 tidak hanya bergantung kepada jualan semata-mata. Di Brunei, pengunjung boleh mencuba nasib menerusi aktiviti Grab The Gold. Di Kuala Lumpur pula, festival ini memperkenalkan Cengkaman Lebaran atau Human Claw Machine yang pastinya mencuri tumpuan. Manakala di Pulau Pinang, Money Chamber bakal menjadi tarikan utama yang menjanjikan pengalaman mengujakan. Selain itu, Jualan Happy Hour, persembahan artis terkenal, serta kemunculan selebriti dan usahawan popular bakal memeriahkan suasana sepanjang acara berlangsung.
Apa yang menyentuh hati sis ialah komitmen pihak penganjur terhadap tanggungjawab sosial. ABxFGR 2026 akan meneruskan inisiatif CSR dengan menyalurkan bantuan kepada anak-anak yatim dan persatuan ibu tunggal seperti tahun sebelumnya. Usaha ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan, malah diharap dapat menjadi tradisi yang berterusan pada masa akan datang.
Secara keseluruhannya, pengalaman sis mengikuti sesi taklimat ini membuatkan sis yakin bahawa ABxFGR 2026 bukan sekadar festival jualan, tetapi sebuah acara gaya hidup yang menghimpunkan komuniti, usahawan, selebriti dan orang ramai dalam satu ruang yang penuh warna-warni. Ia menjadi platform utama untuk memperkenalkan produk tempatan, menggerakkan ekonomi dan dalam masa yang sama menawarkan pengalaman membeli-belah persiapan raya yang lengkap serta menyeronokkan.
Bagi korang yang tidak mahu terlepas kemeriahan ini, pastikan untuk mengikuti akaun media sosial rasmi ABxFGR bagi mendapatkan maklumat terkini dan perkembangan terbaharu tentang festival raya paling dinanti tahun ini.










0 Comments