Let’s Raya Gegak Gempita Raya 2026: Festival 88 Jam Tanpa Henti Bakal Gegarkan WTC KL | Assalamualaikum semua.. Festival Raya berskala nasional dan antarabangsa, Let’s Raya Gegak Gempita Raya 2026, bakal mencipta fenomena tersendiri apabila berlangsung selama 88 jam tanpa henti di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC KL) bermula 12 hingga 15 Mac 2026.
Berbeza daripada festival biasa, acara ini mengetengahkan konsep unik “masuk bila-bila, raikan Raya tanpa henti”, memberi kebebasan kepada pengunjung untuk hadir pada bila-bila masa sepanjang penganjuran. Seiring dengan slogan rasminya, “Lebih Banyak, Lebih Masa, Let’s Raya!”, festival ini menjanjikan pengalaman menyeluruh dalam satu lokasi mega.
Festival ini menggabungkan pelbagai elemen termasuk keagamaan, perniagaan, fesyen, kecantikan serta hiburan patuh Ramadan, menjadikannya antara festival Raya terbesar dan paling dinanti-nantikan tahun ini.
Menurut Pengarah Projek, Kelly Azman, keunikan utama Let’s Raya Gegak Gempita Raya 2026 terletak pada pemisahan zon masa bagi memastikan kesantunan serta roh Ramadan terus terpelihara sepanjang acara berlangsung. Pada waktu siang hingga awal malam, pengisian lebih menjurus kepada aktiviti keagamaan dan kerohanian. Manakala dari malam hingga awal pagi, suasana lebih meriah dengan elemen fesyen, kecantikan dan hiburan yang terkawal serta bersesuaian.
Festival ini menyasarkan kehadiran lebih satu juta pengunjung sepanjang 88 jam penganjuran, melibatkan keluarga, usahawan dan peniaga, peminat fesyen serta kecantikan, pencipta kandungan digital selain pelawat tempatan dan antarabangsa.
Selain membeli-belah, pengunjung turut berpeluang berbuka puasa dan bersahur bersama menerusi Rasa Fusion Food Festival yang menyediakan pelbagai pilihan hidangan menarik sepanjang acara berlangsung.
Antara aktiviti menarik yang bakal berlangsung termasuk:
- Aktiviti keagamaan dan pengisian kerohanian
- Jualan fesyen dan kecantikan oleh pelbagai vendor
- Aktiviti perniagaan dan kolaborasi jenama
- Persembahan artis dan acara pentas
- Penghasilan kandungan digital secara langsung
- Segmen “Happy Hour Hujan Duit” dengan wang tunai sehingga RM18,888
- Cabutan bertuah bernilai sehingga RM188,888
- Sesi berbuka puasa dan sahur bersama di Rasa Fusion Food Festival
Pemilihan tarikh penganjuran iaitu 10 hari sebelum Aidilfitri dianggap sangat strategik kerana tempoh tersebut merupakan waktu kemuncak orang ramai membuat persiapan Raya. Pada waktu ini, kebanyakan pengunjung hadir dengan fokus untuk membeli, sekali gus memberi peluang kepada vendor meningkatkan jualan secara mendadak.
Festival ini turut diperkuatkan dengan penglibatan 88 selebriti dan pempengaruh yang terlibat secara langsung melalui aktiviti pentas serta kolaborasi jenama. Strategi pemasaran menyeluruh termasuk liputan media, radio, televisyen, papan iklan sekitar Kuala Lumpur dan kempen digital menjadikan acara ini antara festival Raya paling berpengaruh dari segi digital di Malaysia.
Pemilihan WTC KL sebagai lokasi penganjuran turut meningkatkan kredibiliti festival ini. Dikenali sebagai lokasi ikonik dan berprestij, WTC KL menawarkan infrastruktur 24 jam serta sistem keselamatan yang sesuai untuk konsep penganjuran tanpa henti selama 88 jam.
Festival ini akan dihoskan oleh Kelly Azman, Watie Elite, Ahfad dan Sudirman Mohd Tahir, selain dimeriahkan dengan persembahan artis sepanjang acara berlangsung.
Orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini melalui media sosial rasmi @letsrayawtc dan @gerobokbiru serta menggunakan hashtag #letsrayagegakgempitaraya2026.







0 Comments