LEQEMBI: Rawatan Pertama di Malaysia yang Mampu Memperlahankan Penyakit Alzheimer Peringkat Awal | Assalamualaikum semua.. Penyakit Alzheimer merupakan antara penyebab utama demensia yang memberi kesan kepada jutaan individu di seluruh dunia. Di Malaysia, peningkatan jumlah warga emas menjadikan penyakit ini semakin membimbangkan kerana bukan sahaja menjejaskan pesakit, malah turut memberi impak besar kepada keluarga dan penjaga.
Baru-baru ini, Eisai Malaysia memperkenalkan LEQEMBI (lecanemab), terapi pengubah penyakit (Disease-Modifying Therapy, DMT) pertama di Malaysia yang direka untuk memperlahankan perkembangan penyakit Alzheimer peringkat awal. Pelancaran ini menandakan satu perubahan besar dalam landskap rawatan Alzheimer negara.
LEQEMBI: Bukan Sekadar Merawat Gejala
Selama lebih 30 tahun, rawatan penyakit Alzheimer hanya tertumpu kepada pengurusan gejala seperti masalah ingatan dan perubahan tingkah laku. Namun, LEQEMBI hadir dengan pendekatan yang berbeza.
\
Terapi ini menyasarkan punca utama penyakit Alzheimer dengan menyingkirkan amiloid, iaitu salah satu ciri biologi utama yang dikaitkan dengan perkembangan penyakit tersebut. Dengan mengurangkan pengumpulan amiloid di dalam otak, LEQEMBI telah terbukti mampu memperlahankan perkembangan penyakit, sekali gus membantu pesakit mengekalkan kebebasan, kualiti hidup serta keupayaan menjalani aktiviti harian untuk tempoh yang lebih lama.
Rawatan ini telah menerima kelulusan penuh daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada Januari 2026 bagi rawatan penyakit Alzheimer bergejala peringkat awal.
Diagnosis Awal Semakin Penting
Menurut Pengarah Urusan Eisai Malaysia, Kam Ai Teng, pengenalan LEQEMBI membawa perubahan besar dalam pendekatan rawatan penyakit Alzheimer.
“Ini merupakan satu langkah yang amat bermakna dalam rawatan penyakit Alzheimer, apabila matlamat rawatan kini bukan lagi terhad kepada melegakan gejala, tetapi turut berupaya memperlahankan perkembangan penyakit itu sendiri,”
“Perkara ini amat penting kerana penyakit Alzheimer sebenarnya bermula jauh lebih awal sebelum munculnya gejala yang ketara. Apabila ramai pesakit menerima diagnosis, perubahan yang signifikan telah pun berlaku di dalam otak. Justeru, pengesanan awal kini menjadi lebih penting bagi memastikan pesakit berpeluang mendapat manfaat daripada kemajuan perubatan seperti ini.”
~ Kam Ai Teng, Pengarah Urusan Eisai Malaysia ~
Sebelum ini, matlamat rawatan lebih tertumpu kepada mengurangkan gejala yang dialami pesakit. Kini, dengan adanya terapi pengubah penyakit seperti LEQEMBI, fokus turut diberikan kepada usaha memperlahankan perkembangan penyakit itu sendiri.
Beliau turut menjelaskan bahawa penyakit Alzheimer sebenarnya mula berkembang bertahun-tahun sebelum gejala ketara muncul. Oleh itu, diagnosis awal menjadi semakin penting supaya pesakit berpeluang menerima rawatan pada peringkat yang masih memberi manfaat optimum.
Kes Penyakit Alzheimer Dijangka Terus Meningkat
Malaysia kini sedang menuju status negara menua, sekali gus meningkatkan cabaran dalam penjagaan kesihatan berkaitan demensia.
Dianggarkan jumlah rakyat Malaysia yang hidup dengan demensia akan meningkat kepada sekitar 825,000 orang menjelang tahun 2050, iaitu peningkatan melebihi 300% berbanding jumlah semasa.
Selain itu, beban ekonomi penyakit ini dianggarkan mencecah antara RM7.9 bilion hingga RM8.5 bilion setahun, merangkumi kos rawatan kesihatan, kehilangan produktiviti serta penjagaan tidak berbayar yang disediakan oleh ahli keluarga.
Dengan adanya rawatan yang mampu memperlahankan perkembangan penyakit, manfaatnya bukan sahaja dirasai oleh pesakit, malah turut membantu mengurangkan tekanan terhadap keluarga, penjaga dan sistem penjagaan kesihatan negara.
Cabaran Besar Buat Keluarga dan Penjaga
Penyakit Alzheimer bukan sekadar memberi kesan kepada individu yang menghidapinya. Ahli keluarga dan penjaga sering berdepan cabaran emosi, fizikal serta kewangan kerana kebanyakan mereka perlu menyediakan penjagaan sepenuh masa dalam tempoh yang panjang.
Memandangkan penyakit ini bersifat progresif, keperluan penjagaan akan terus meningkat dari semasa ke semasa. Justeru, sokongan kepada penjaga menjadi sama penting dengan rawatan kepada pesakit.
Pelan Tindakan Demensia Malaysia 2023–2030
Bagi memperkukuhkan usaha menangani cabaran demensia, kerajaan telah memperkenalkan Pelan Tindakan Demensia (NDAP) 2023–2030 yang dilancarkan pada Oktober 2024.
Pelan ini memberi tumpuan kepada beberapa aspek utama, antaranya:
- meningkatkan saringan dan pengesanan awal penyakit;
- mengurangkan stigma terhadap demensia;
- memperkukuhkan laluan diagnosis dalam sistem penjagaan kesihatan; dan
- menyediakan sokongan yang lebih menyeluruh kepada penjaga.
Usaha ini turut disokong oleh Dementia Alliance Malaysia (DAMai), sebuah gabungan nasional yang menghimpunkan profesional kesihatan, pertubuhan bukan kerajaan serta pelbagai pihak berkepentingan dalam memperkukuhkan penjagaan dan advokasi berkaitan demensia.
Kerjasama Penting Demi Masa Depan Penjagaan Alzheimer
Presiden DAMai, Profesor Tan Maw Pin menjelaskan bahawa kemajuan saintifik perlu disokong oleh sistem penjagaan kesihatan yang bersedia bagi memastikan pesakit benar-benar mendapat manfaat daripada inovasi seperti terapi pengubah penyakit.
Menurut beliau, kerjasama antara profesional kesihatan, pembuat dasar, organisasi berkaitan serta penjaga amat penting bagi memastikan pesakit Alzheimer menerima diagnosis awal, rawatan yang sesuai serta penjagaan berterusan sepanjang perjalanan penyakit mereka.
“Inovasi perubatan seperti terapi pengubah penyakit sememangnya membawa kemajuan yang nyata. Namun, impaknya bergantung kepada sejauh mana sistem penjagaan kesihatan bersedia untuk menyokong pengesanan awal, diagnosis serta penjagaan pesakit secara berterusan. Kerjasama antara semua pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan pesakit dan keluarga dapat mengharungi perjalanan penyakit Alzheimer dengan lebih berkesan,”
~ Profesor Tan Maw Pin, Presiden DAMai ~
Seiring dengan itu, Eisai Malaysia turut menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan DAMai, profesional kesihatan dan pelbagai pihak berkepentingan dalam memperkukuhkan ekosistem penjagaan demensia di Malaysia.
Kesimpulan Kepada LEQEMBI Kepada Rawatan Penyakit Alzheimer
Pengenalan LEQEMBI merupakan satu perkembangan penting dalam rawatan penyakit Alzheimer di Malaysia. Sebagai terapi pengubah penyakit pertama yang mampu memperlahankan perkembangan Alzheimer peringkat awal, ia membuka harapan baharu kepada pesakit dan keluarga mereka.
Dalam masa yang sama, kejayaan rawatan seperti ini bergantung kepada kesedaran masyarakat tentang kepentingan diagnosis awal, sokongan kepada penjaga serta kerjasama semua pihak dalam membina sistem penjagaan demensia yang lebih menyeluruh.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Eisai Malaysia serta komitmennya dalam memajukan penjagaan kesihatan, orang ramai boleh melayari laman web rasmi syarikat https://eisaimal.com.my/











0 Comments